MY CERPEN 03

Tajuk: KOMA (nyawa kedua)
Penulis : Hafizi Samat

Mataku terbuka, degup didalam dadaku tidak lagi aku dengarkan namun aku tetap percaya yang aku masih bernyawa. Kelihatan disekeliling aku suatu dinding besar melitupi segala pandangan. Dinding yang berwarna hijau lembut deco green ini kelihatan seperti syurga yang selalu diceritakan oleh ustazah ketika aku bersekolah rendah dahulu. Tapi perhiasan dan kemasan pada setiap penjuru dinding ini seperti pernah aku lihat sebelum ini, mereka seperti suatu sifat ruang unit rawatan rapi di hospital kerajaan Malaysia. Ya, benar aku berada didalam hospital sekarang tapi, sejak bila pula aku berada disini? Bilakah waktunya aku sakit? Siapakah diriku ini?. Mencuba aku untuk membuka mulut dan bertanyakan kepada seorang jururawat yang sedang berlegar-legar dihadapan mataku ini tanpa berbuat apa-apa namun, lidahku seperti kaku membeku, mulutku bagaikan dijahit rapat tidak terbuka dan seluruh anggota badanku terasa terpaku bagai dipasak kebumi serta leherku digantung ke langit. Tidak mampu untuk aku melakukan apa saja. Apa yang telah terjadi kepada tubuhku ini ?. Kenapa semua ingatan aku bagaikan lenyap tidak terkesan lagi di fikiran aku ini. Mengeluh sendiri aku dan terpinga kebingungan dalam mencari alasan untuk semua yang terpamir dihadapan mataku ini.

          Wayang berputar bagaikan suatu episod yang panjang. Buntu aku dengan perihal keadaan aku disaat ini. Sakit dalam kepala aku. Seraya hati bertanya, kebingungan bertandang tanpa disangka-sangkakan. Apakah yang sedang aku alami sekarang ini, apa mungkin segala gambaran dan tayangan ini adalah suatu mimpi atau khayalan yang berputar terpancar zahirnya ke iris mata penglihatan aku ini. Dalam kebingungan yang berterusan mendilemakan kewarasan fikiran aku ini, aku masih tercari-cari akan suatu maksud untuk semua cerita ini. Masih jelas aku terlihat kekalutan dan operasi didalam situasi tempat yang sedang pegun jasadku terdampar ini. Aku lihat para jururawat dan para pakar kesihatan sedang menjalankan peranan masing-masing dengan tekun dan teliti sekali. Tiada sebarang perjelasan yang tepat untuk merungkaikan segala pertanyaan yang terkumpul dibenak fikiran aku ini. Teringin sekali rasanya aku untuk menanyakan para manusia yang wujud dalam pandangan sekitar aku ini akan segala tanda tanya yang timbul namun malang nasib yang tertanggung dek tubuhku tika ini, masih aku kaku dan bisu untuk mengucapkan walau sepatah kata dari bibir ini. Masih juga aku menanti dengan penuh harapan agar ada walau seorang diantara keramaian manusia ini yang mendatangi aku untuk memeriksa dan mungkin dapat untuk aku meneruskan pertanyaan ini dengan isyarat mata atau juga bahasa-bahasa isyarat lain yang mampu menggambarkan setiap pertanyaan hatiku ini.

Terima kasih tuhan, seorang jururawat muda mendatangi aku dengan berwajah sebal seakan turut bersedih melihat keadaan aku yang terpinga sesat di antara persoalan ini. Sebaik sahaja tiba ke hujung katil aku ini, jari jemarinya menjalar ke kaki aku dan terus mencapai jari kakiku. Aku terfikir, apa benar dia adalah seorang jururawat?. Genggam jari kaki aku, dia melayangkan senyuman sinisnya tepat ke jelingan mataku yang terpaku pada pandangan ini. Tanpa sepotong ayat atau seumpamanya, dia memalingkan wajahnya dengan rela yang perit dan terus berlalu tanpa menoleh ke aku lagi. Apa tidak dia melihat keserabutan jiwa yang aku alami tika ini, atau mungkin tidak mereka semua disini memperdulikan aku lagi. Mataku masih tercelik dan tidak pernah tertutup ini, sedangkan mereka tidak mendapatinya. Aku berasa hairan, lalu aku membangkitkan tubuhku dari baringan yang sungguh tidak selesa ini. Aku bangun separuh badan dan keadaannya masih tidak berubah. Masih aku tidak diperdulikan. Ahhh.. Berasa lenguh seluruh badan aku, kira-kiranya mungkin sudah beberapa hari ini aku sekadar pegun dalam baringan. Kaku seketika segala urat dan saraf aku. Uum… Seperti kata sahabat karibku, tiadalah kesedapan yang hebat selain sedapnya “geliat” ini, meregangkan otot badanku. Aku bangkit.

Sedang aku mengselesakan tubuhku ini sambil meregang-regangkan otot, aku lihat tiga orang jururawat menghampiri katil  aku ini. Hipotesis aku buat, tentunya mereka akan tersenyum apabila melihat keadaan aku yang sudah mula bangkit dari baringan ini. Kesimpulan awal aku nyata palsu. Kian hampir kepada katil aku, mereka bertiga berwajah duka. Salah seorang daripada mereka itu terbutang ketat didada tag nama, Windy. Berwajah cerah dan berkulit nipis berurat merah, mungkin cina. Windy melebarkan pangkuan lengannya seakan ingin memeluk tubuhku. Aku menerimanya dengan hati yang rela namun, kian lengannya hampir ketubuhku ini, telus, bagai tiada jisim. Jelingan mata aku mengekori arah lengannya itu dan rasa kejut yang amat dalam degup jantungku yang sendiri aku rasakan kini kian lemah. Hilang separuh kewarasanku bila terlihat lengan Windy tepat pada bahu sekeping jasad yang masih berada dalam baringan mebelakangi aku. Aku terpaku melihat dan mengesan dengan penuh benar tanpa kesangsian, itu adalah jasad aku. Ya Allah…jika benar itu adalah aku, siapakah aku ini ?. adakah aku ini halimunan atau mereka semua ini yang tiada jisim. Wayang berlapis bagaikan ada dua keping putaran imej yang bertindih antara satu sama lain. Tiada kejutan yang pernah membuat degup jantungku sekuat ini. Melihat Windy memegang bahu jasadku itu benar-benar memberi satu sentuhan yang memerah rasa sedih dalam rohku ini.

Sedih kian jelas aku rasakan kerana aku telah mendapat kepastian. Benarlah jasad yang terbujur di baringan itu adalah jasadku yang aku damping sekian lama waktu. Tercatat terang nama dan nombor pengenalanku di papan tanda nama pesakit yang tergantung di kepala katil itu. Walau berat kenyataan ini, aku harus terima. Ini bukanlah dunia aku lagi. Aku harus menemukan pangkal alam yang zahir untuk aku, rohku ini. Rasa sedih pada hakikat ini, membawa aku untuk melabuhkan diri dari katil itu. Sempat melihat Windy mengusap airmata yang mengalir perlahan pada hujung tutupan mata jasadku itu. “jangan bersedih…awak masih disini, carilah puncanya untuk keluar dari situ”, lalu Windy menoleh kearahku dan memberikan aku sekuntum bunga senyuman. Aku terasa terkejut juga, seakan Windy dapat melihat rohku ini. Aku membalas senyumannya seraya kaki aku perlahan melangkah meninggalkan tempat itu. Wahai jasadku yang setia mendampingiku selama ini, damailah engkau seketika disitu sehingga aku kembali dengan pengertian hidup yang baru. Janganlah engkau lemah mahupun takut pada kenyataan ini, segala rasa dan ilusimu itu akan aku pertanggungjawapkan sendiri. Kuatkanlah azammu kerana itu juga semangat aku. Selamat tinggal jasad yang terkandung dengan cinta, setialah engkau menantikan kepulangan aku kepadamu.

Bagaikan satu ilusi seorang seniman yang melakar dan membentuk drama ini terhadap kisah hidupku. Aku terus melangkah keluar dari wad ini. Sebaik sahaja tiba dibalai menunggu di luar wad ini, aku lihat abang ngahku sedang bertengkar dengan pegawai keselamatan wad. Aku telah kuatkan diri untuk tidak lagi berasa sungguh terkejut dengan segala yang bakal terpamir dikaca penglihatan aku ini. Terlihat dihujung sudut sana, Jay dan para sahabat sedang berwajah duka. Segala kenalan yang kuat didalam ingatanku wujud dihadapanku namun aku juga hairan, tercari-cari juga aku watak Bunda kesayanganku. Masih mencari watak Bunda namun aku hanya menemui jawapan yang tiada. Mencari aku lagi kepada susuk watak Ayahanda andai mungkin akan kutemui tapi juga hampa. Sejenak aku terduduk disudut dinding bersebelahan dengan abang sulungku, menangis. Aku menangis, hiba yang setia menemaniku tika ini. Redup wajah setiap kenalan aku ini membuat aku mengerti hakikat yang sebenarnya kini. Hilang sudah segala suara didalam dunia itu, aku kini hidup dalam sepi tanpa suara seakan bisu dan wayang yang berputar tanpa suara.

Apakah jenis penyiaran ini, sedangkan aku yang masih buntu dengan pelbagai persoalan yang tertinggalkan, jenuh aku berfikir dan mencuba untuk menggali ke umbi jawapan namun segalanya hampa belaka. Kian masa berlalu yang tiada detik, aku makin kebisuan membicara soal keadaan yang aku pijak dan lihat ini. Hilang bias kesakitan lalu, tertimpa pula kesakitan batin yang tiada penawar ini. Keliru dan kian membingungkan. Segala alam sekeliling aku menjadi bisu tiada suara dan aku bagai terlambung ke udara. Terlayang-layang diri ku bagai tiada graviti lagi. Seraya aku meracau mencari pangkalnya cerita ini, menjerit memanggil Bunda. Rasa takut kian tumbuh dihati, suatu rasa yang amat takut. Ketakutan kian menebal didalam hati tatkala menyedari yang aku sudah hilang arah tuju. Segala tayangan tentang dunia nyata yang memiliki watak-watak kesayangan aku tadi hilang serta merta dan tiada lagi mampu aku melihat segala warna. Kini hanyalah seberkas sinar yang silau memancar iris mataku. Tiada awal dan akhir suatu pentas drama yang amat menakutkan. Tiada jalan. Tiada arah mahupun petanda untuk aku terus berjalan atau berlari.

“Bundaaaa…!!!!”, dengan jeritan seluruh jiwa, aku tenang seketika. Skrin ilusi ini kian pudar dan gelap. Cahaya terang sebentar tadi kian lenyap mengikut detiknya tersendiri. Namun aku masih tidak berpijak pada apa juga. Aku masih melayang-layang namun aku berada dalam layangan yang bertuju. Kemanakah arah tuju layangan aku ini, aku juga masih tidak mengetahui. Aku pasrah dengan segala ilusi dan rangkaian pada karya yang tiada berpusat ini. Alam kian gelap dan menjadi semakin gelap. Tiba-tiba, hilang tiada rasa resah yang melanda, kehairan pula kian timbul di hatiku. Terjelmalah bintang-bintang yang bersinar gemerlapan di setiap paparan gelap yang mengelilingi aku ini. Jelmaan bintang-bintang ini bagaikan membentuk penjuru dinding yang sanagat besar hinggakan aku hilang punca. Teringin dihati aku untuk menghampiri dan memetik gugusan bintang itu. Lalu merapatkan diri dan menghulurkan tanganku untuk menyentuhnya, tiada alasan yang tepat, tiba-tiba bintang-bintang bergerak dan pantas menjauhi aku. Aku melihat kesekeliling aku, terlihat semua bintang-bintang itu semuanya bergerak bagai berlari menjauhi aku. Makin pantas dan makin jauh. Didalam fikiranku tika ini hanya buntu dan tidak mahu untukku meracau mencari kesahihan semua ini. Aku memilih untuk tenang bersahaja melihat perubahan persekitaran ku ini. Apakah yang bakal terbentuk selepas ini, aku hanya menunggu.

Kitaran masa yang hanya seketika aku kira, bintang-bintang itu menjauh dari capaian aku kini. “Amin,…tengok tu…”, terkejut aku seraya melihat Diyana yang menyapa dan berdiri bersebelahan aku. Tidak pernah lagi berkata walau sepatah kata, hanyalah sapaan sebentar tadi. Renungannya tepat tersudut dihujung alam bintangan ini. Aku mengekori saja renungnya dan aku lihat, bumi mulai menjelma dengan jelas, dan aku menyedari suatu hakikat kini. Kini, aku berada di angkasa. Melihat bumi yang sedang berputar pada paksinya, cukup indah jika difikirkan pada daya pemikiran biasa namun aku tiada rasa seumpamanya itu tika ini. Aku hanya resah, pada mulanya aku berjalan terus dari baringan itu semata ingin mencari jalan keluar untuk kembali ke dunia yang nyata, namun, kini hakikatnya aku semakin jauh. Oh tuhan, apakah ini segala dugaan dari-Mu dan apakah yang sebenarnya ingin Kau jelaskan kepada aku sehinggakan aku di bawa terjauh dari hidupku yang sebenar ini. Sesungguhnya aku tidak terkira lagi detik yang semakin berputar. Ingatan aku pada dunia kian lupus dan segala kenangan semakin hilang. Aku mulai hilang segala ingatan yang terbaru, aku sudah lupa bagaimana boleh aku berada di hospital sebentar tadi. Aku lupa dan aku melayang lagi tanpa tujuan yang pasti dari ku.
Tanpa istilah rehat atau penat, aku dibawa lagi terus menerbangi alam. Terdampar aku terjatuh dari lambungan bagai layang-layang tadi. Bangkit aku bangun berdiri, aku lihat dinding berwarna merah. Dinding ini juga tiada atas, bawah mahupun sudut yang menjadi batas atau petanda untuk aku mentafsir keberadaan aku di alam ini. Dinding yang kosong merah ini mulai bercorak. Makin banyak dan makin bercelaru. Corak yang menghisai dinding ini bagaikan suatu bayangan pantulan pada cermin yang besar. Aku hanya di pamirkan bayangan aku sendiri. Kian masa berputar, bayangan-bayangan ini kian menjelma semakin jelas dan banyak. Segala bayangan ini kian menyerabutkan dan bagai menekan fikiranku. Tidak tertahan melihat kekacauan penglihatan ini, aku segera memalingkan pandangan dan mencuba untuk mendapatkan suatu pandangan yang berbeza daripada bayangan diri sendiri ini. Usaha yang tiada berakal ini nyata hampa. Semua paparan merah kini dipenuhi dengan bayangan diri aku sendiri. Tanpa landasan untuk berjalan, aku hanya menyakinkan diri untuk melarikan diri dari keserabutan ini. Dalam rasa yang kacau dan gundah, resah kian membuak dihati, meledakkan sebuah pemikiran yang rasional. Tidak tertahan dengan segala perihal yang membuntukan rasa ini, ingin saja aku mencungkil kedua belah mataku untuk menghindari dari pendangan seumpama ini namun kewarasan masih kuat difikiran. Namun begitu, aku hanya mampu untuk memejamkan mata dan sekuat hati aku menjerit dan memanggil Bunda.

Mungkin pereka ilusi ini mengetahui yang tayangan merah ini amat memedihkan pandangan mataku. Sejenak aku memejamkan mata, tercelik aku sekali lagi mencuba untuk melihat. Perubahan pada alam yang mengelilingiku berubah serta merta tanpa isyarat mahupun bunyi yang mungkin terhasil untuk mengatakan sesuatu kepadaku. Kini tayangan pada skrin merah tadi sudah hilang dan lenyap tanpa alasan lagi. Namun pengembaraanku didalam alam ini masih belum berhenti, dan kini aku cukup bersedia untuk melalui apa saja pandangan dengan berbekalkan semangat untuk terus hidup yang masih berbaki sekelumit rasa dihati aku ini. Alam berubah menjadi suatu kenyataan yang kian membingungkan fikiranku. Jelas semangatku yang aku fikir kuat itu terasa goyah. Aku diperlihatkan dunia aku sendiri namun mungkin untuk  menambahkan kesannya pada jiwaku, drama kehidupanku yang dipamerkan ini mengimbas suatu kenangan yang amat persis pada kenyataan yang lampau aku sendiri tika dialam kehidupan yang nyata dulu. Wayang kali ini tiada suara dan juga tiada warna sekadar hitam dan putih.

Kali ini aku tidak melayang-layang bagai layang-layang terputus talinya. Kakiku terpijak nyata diatas permukaan yang membolehkan aku melangkah dan terus berjalan untuk mencari jalan keluar dari segala ilusi ini. Aku terus berjalan sendirian tanpa berteman lagi, merentasi segala kenangan ini. Perjalanan yang aku susuli dengan keinsafan yang nasuha dan martabat diri yang amat rendah. Aku mengesali segala dosa yang lalu. Jenuh berjalan, kian aku berlari untuk melewati segala drama ini. Drama yang amat aku kesali, terpamir jelas segala suka dan duka, segala kebaikkan yang sedikit dan jelas juga tertayang segala dosa yang aku telah lakukan samada sengaja atau tidak disengajakan dahulu. Aku terus berlari sehingga tiba ke satu persimpangan antara dua perjalanan. Satunya menuju ke jalan mati sementara satu lagi menuju ke rumah keluargaku di kampong. Segera aku tanpa berfikir panjang, melulu kearah rumah orang tuaku itu. Berlari. Sepanjang jalan itu aku berlari, semakin laju dan kian bersemangat namun drama ini tidak terlalu bersahaja untuk aku. Sedang aku berlari melulu ke rumah itu, semakin laju, jelas pada penglihatanku rumah itu semakin kecil dan menjauhi aku. Mungkin rumah itu akan kian jauh dan menghilang dariku, segera aku berlari lagi. Lidahku yang kaku sejak permulaan ilusi tadi, tergetar juga. Menjerit aku memanggil Ayahanda dan Bonda.

Mungkin rumah itu mendengari dengan jelas jeritanku tadi, segala kejauhan rumah itu berhenti bergerak. Pegun bersahaja terpaku disitu dan drama ini tidak lagi bisu sebaliknya nyata berwarna dan bersuara. Memandangkan rumah itu tidak lagi pergi menjauhi larianku, aku segera mendekati rumah itu. Setibanya aku di perkarangan rumah itu, terkejut juga aku melihat begitu banyak kereta dan motorsikal yang sedang parking, seolah-olah sedang berlangsung satu upacara dirumahku itu. Jiwaku semakin meronta untuk memasukki saja rumah itu. Kelihatan disudut tepi tangga untuk ke ruang tamu sekeping kad ucapan yang disertakan bersama sejambak bunga tulip putih dan kemboja. Aku menghampiri kad itu, “ya Allah…”, terang tertulis pada kad itu, “turut berduka cita” dan ucapan ini setahu aku hanya ada pada majlis takziah untuk suatu kematian sahaja. Apa mungkin Ayahanda atau Bonda yang telah meninggalkan dunia ini ?. aku tidak sempat berfikir apa-apa tika ini dan hanya melulu terus kedalam rumah. Terlihat begitu ramai kenalan aku dan saudara maraku berdiri dan bersandar ke dinding rumahku ini, berwajah sebal dan duka. Sedih mulai dirasai dihatiku, tiada lagi kehilangan yang pahit untuk aku telan selain kehilangan Ayahanda dan Bonda, bagiku.

Segera aku ke ruang tamu kedua yang pasti menjadi tempat takziah pada jasad yang sudah hilang batinnya. Setibanya aku di ruang buka untuk ke ruang tamu kedua itu, terlihat Ayahanda sedang berdiri tersandar ke dinding, segera aku mendekati ayah, “Abah…Bunda..?”, ayahku bagai mendengari pertanyaanku ini tapi dia hanya berpaling kepadaku tanpa sebarang penjelasan. Aku lihat wajah ayahku tika ini, sungguh berduka dan matanya sangat berkaca. Aku memahami jelas jawapan pada raut wajah ayah, tidak sepatah daya aku terucap, segera aku masuk ke ruangan takziah itu. Sedih kian mengalir dalam jiwaku, terlihat sebujur jasad tidak lagi bernyawa itu sedang dalam baringan yang kali terakhir untuknya dialam ini. Jasad yang dikelilingi beberapa orang sahabatku yang setia membacakansurah yassin, mataku yang sudah berkaca ini tidak lagi mampu menampung takungan airmata, melihat sebujur jenazah itu, airmata pilu mengalir laju ke pipiku. Terduduk aku melihat jenazah ini, kian sedih namun aku tahu, airmata yang mengalir pada ratapan kematian ini tidak sepatutnya menitis hingga membasahi jenazah atau juga lilitan kain kapan padanya itu.

Perlahan-lahan aku merapati jenazah itu sekali lagi aku terkejut besar, bagai luruh segala degupan jantung didadaku apabila melihat wajah si mati. “ya Allah…”, aku mengenali persis wajah ini, ini adalah aku. Menafikan dengan terkejut pada kenyataan ini, pantas aku menghindar dari baringan itu, takut dalam kebingungan diri aku ketika ini. Aku berdiri dalam ketakutan yang membingungkan ini, lalu aku dirapati dari arah belakang dengan kedatangan Bundaku. Aku memanggilnya namun bagai sia-sia sahaja, tidak diendahkan seraya ratapan seorang ibu pada kematian anak kelahirannya jelas mengalir sayu membasahi pipinya. Ingin saja aku menjerit namun aku sedar, tidak mungkin walau seorang daripada keramaian ini dapat mendengarinya. Aku melebarkan sayap pangkuan untuk memeluk tubuh Bunda namun terbias, aku bagaikan tidak berjisim, hanya melalui bersahaja tanpa rasa dakapannya. Mataku masih memaku pada Bunda, terlihat Diyana, datang menghampiri dan menenangkan Bundaku. Pastinya Diyana juga sebak dengan kenyataan ini apabila jelas basah pipinya. “ya Allah…apakah ini semua..”, kebingungan, terkejut dan pelbagai rasa kian menumbuh kedalam jiwaku tika ini. Tidak lagi tertanggung jiwaku untuk menatapi drama ini, segera aku keluar dari ruangan takziah ini dan terus melarikan diri dari rumah ini. Berlari dengan langkah yang teramat kaku dan berat aku rasakan. Seluruh jiwaku hancur selerai harapan kedua orang tuaku yang sedang meratapi kehilangan aku tika ini, sudah pastinya.

Walau aku sedar, selama ini aku bagaikan menghindar daripada mereka, namun kasih dan sayang mereka pada diriku ini tidak akan mungkin bercerai dari hati mereka walau kini jasad dan nyawaku telah terpisah. Dalam larian aku untuk keluar daripada drama yang kian membunuh jiwaku ini, aku terserempak dengan seorang ustaz yang pernah mengajarku di sekolah menengah dulu. Dia juga melihat pada keadaan aku yang sedang bergundah gulana ini, redup diwajahnya turut aku mengerti akan kesedihannya itu, dia juga sedang takziah kerumahku. Pastinya dia mengerti akan resah dijiwaku ketika ini. Lalu dia mengukirkan senyuman bagai ingin aku bertenang sedikit. “ustaz, apakah ini semua…?”, dia hanya tersenyum. “ustaz, saya insaf dan kesal atas semua yang telah saya lewati…dengan kejam saya menzalimi fitrah kehidupan saya dengan segala rahmat dan ehsan dari-Nya…aahhh…kenapa penyesalan selalu datang terlambat ?”. “sesungguhnya tiada istilah terlewat atau terlambat untuk bertaubat, lepaskanlah segala yang tersangkut dan pasrahlah pada kenyataan..dengan tenang, menerima takdir..dan lepas itu, mungkin kamu dapat aman, damai bersama rahmat-Nya..”. mengeluh aku seketika, aku seperti tidak mahu menerima kenyataan ini tapi mungkin ini adalah akhirnya hikayat kehidupan aku. Aku harus pasrah. Dan aku pasrah.

Serentak telah aku pasrah pada segala kenyataan dan dunia ini, segala wayang lesap dari pandangan. Aku kira, segalanya telah berakhir namun sekali lagi ilusi terus bertandang. Tanpa henti aku diduga dengan pelbagai cerita tanpa aku mengetahui apa maksud yang sebenarnya disebalik semua cerita ini. Kini alam yang tertayang tidak lagi terdaya aku perjelaskan walau dalam beribu patah perkataan. Mungkin atas sebab aku menafikan kasihnya seorang ibu dan selalu hidup dalam penafian untuk bergantung sesama manusia, kini aku berseorangan terlambung dan terapung di udara kayangan. Bumi telah menghalau aku juga pada langit yang tidak lagi terbuka untuk menerimaku. Tika ini aku hanya pasrah pada apa juga yang diperlakukan pada diriku ini. Andai manis yang terhidang, manislah juga yang aku terima mahupun juga pahit yang dihidangkan maka pahit juga yang akan aku telan. Aku pasrah atas segalanya. Pada ilusi ini, aku sememangnya tidak terdaya untuk berbuat apa-apa.

Dalam keadaan yang terlayang diudara ini, pelbagai hasutan dan nasihat yang cuba menyesatkan aku dan cuba demi cubaan segala godaan agar aku menukar agama peganganku supaya langit dapat menerimaku. Sekuat mana imanku pada agamaku kini teruji. Sememangnya aku ingin kembali ke langit, namun terlalu berat untukku bagai tidak mungkin untukku menukar agamaku. Aku lebih rela diakhiri segala hakikat ini bersama agama peganganku selama ini. Berbekalkan sisa tenaga iman yang masih ada, aku pertahankan agamaku sekuat terdaya dihati. Ya Allah ya tuhanku yang satu dan tiada lainnya tuhan yang aku sembah melainkan Kau, dan hanya kepada Engkau aku meminta dengan penuh keyakinan sebagai seorang hamba, aku meminta pada rahmat-Mu, kelembutan ketentuan takdir-Mu…berikanlah aku petunjuk untuk kembali ke hidupku yang akan membawaku senang sentiasa bersama kerahmatan dari Mu..sesunguhnya telah aku menzalimi diriku sendiri dan kepada-Mu kini aku bertaubat dan pasrah atas segala ketetapan-Mu.

Syukur pada tuhan, segala hasutan dan bayangan yang tidak menentu itu telah hilang dan lenyap serta merta tanpa isyarat. Diriku kini terdampar sendiri, terduduk diatas sebiji batu yang besar ditepi sebuah pantai yang membiru airnya. Disini aku tenang seketika dan indera pendengaranku kembali jelas mendengari segala doa-doa yang dibacakan menjurus kepadaku dan aku hanya meng-aminkan saja. Kerana hanya itu yang mampu aku lakukan pada ketika ini. Kini, segala ingatanku kian pulih dan aku mengingati segala kenyataan yang membawa aku kealam ini. Pada bulan Julai tahun lepas, aku mendaftarkan diri untuk menyertai satu peluang perniagaan dengan harapan untuk merubah nasibku dan keluarga. Dengan permulaan yang cemerlang, aku teruskan perniagaan dan kelalaian padastudy aku kian terasa. Aku berhenti menjadi pelajar dan hanya kebal dengan semangat keusahawananku saja. Persahabatan aku dengan Andy juga kian runtuh bagai aku merelakan saja. Atas segala kemurahan tuhan, segalanya kehidupanku berjalan lancar dan atas kuasa tuhan juga, seluruh kehidupanku dirampas kembali. Aku sedar, disebalik segala kekayaan rahmat yang tuhan kurniakan kepadaku, telah aku persiakan dengan rasa bongkak dan angkuh terhadap dunia dan fitrah aku sebagai seorang anak lelaki kepada keluarga.

Aku kesal, hanya kerana mengikuti nafsu untuk segera berjaya didunia lalu, aku telah tersalah langkah dalam mengejar cita-cita. Adapun pernah aku menyalahkan takdir ini, namun aku sedar tiada siapa yang patut disalahkan dalam soal ini, hanya aku manusia bodoh yang terlampau ingin mendahului takdir sendiri. Tiada walau beribu bahasa mahupun penulisan yang dapat mengungkap tepat tentang apa yang aku rasakan ketika ini. Oh Tuhan....Aku mahu hidup sekali lagi.

Selepas seketika yang lama aku kembali mencelikkan mata dan penglihatan aku yang sebelum ini menggambarkan tepat keberadaan aku di tepi pantai, kini berubah menjadi satu tempat yang tidak lagi asing bagiku iaitu satu ruangan wad rawatan rapi di sebuah hospital. Aku berbaring dikatil, tiba-tiba aku kedengaran satu arahan dari seorang wanita dewasa yang menyuruh agar para jururawat di sekitar itu membuang aku keluar. Mungkinkah aku masih berada didalam ilusi si penulis atau itu adalah sekadar arahan biasa, aku juga tidak pasti. Aku pasrah saja. Dalam beberapa kelip mata aku fikir, aku didatangi seorang wanita muda yang lembut tuturnya dan manis wajahnya. Berpakaian serba putih yang sememangnya menakutkan aku. Apakah ini juga masih seekor syaitan yang mendatang untuk menghasutku lagi. “adik…jangan takut ea..cuba pandang akak,cuba sentuh muka akak..”, apa sajalah si dia ini. Aku tidak melawan mahupun mengikut, aku sekadar berdiam saja tanpa berbuat apa-apa. Segera aku memalingkan pandanganku kearah bertentangan dengan si dia itu. “ adik…kalau tak nak pandang akak, hah, pandanglah ke jam itu, tengok dik, dah jam 1030 pagi…”, katanya lagi. Benar, tika itu aku melihat tepat ke jam yang tergantung di dinding itu. “sekarang dah pagi, dah…jangan tidur lagi…bangun ea…”. Terlihat dihujung katil wajah seorang wanita seri berkacakan gembira. Padanya itu, jelas kesyukuran dan berucap "selamat kembali anakku...".




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Geng'S